Showing posts with label Penentuan Keseimbangan Pendapatan Negara dalam Ekonomi 2 Sektor. Show all posts
Showing posts with label Penentuan Keseimbangan Pendapatan Negara dalam Ekonomi 2 Sektor. Show all posts

Keseimbangan Pendapatan Negara

Keseimbangan Pendapatan Negara ialah satu keadaaan apabila jumlah perbelanjaan yang dilakukan oleh sebuah ekonomi (sektor isi rumah, sektor firma, sektor awam, dan sektor luar negara) adalah sama dengan jumlah barang dan perkhidmatan yang sanggup ditawarkan oleh ekonomi tersebut, atau perbelanjaan agregat (AE) sama dengan penawaran agregat (AS).

Keseimbangan Pendapatan Negara ialah tingkat pendapatan negara (Y) yang tiada lebihan atau kurangan dalam penawaran agregat (AS) atau perbelanjaan agregat (AE).

AS = AE

atau

AS − AE = 0

Aliran Pusingan Pendapatan dalam Ekonomi Dua Sektor

Ekonomi dua sektor terdiri daripada sektor isi rumah dan sektor firma. Sektor kerajaan dan sektor negara asing tidak wujud.

Oleh itu, dalam ekonomi dua sektor, aliran pusingan pendapatan menggambarkan alirann fizikal dan aliran wang antara sektor firma dengan sektor isi rumah.


Apabila sektor isi rumah menjual faktor pengeluaran (buruh, tanah, modal, dan usahawan) kepada sektor firma (Aliran Faktor), sektor isi rumah menerima pendapatan dalam bentuk upah dan gaji, sewa, bunga, dan untung (Aliran Pendapatan).

Daripada pendapatan ini, sebahagian besar akan dibelanjakan (Aliran Penggunaan) terhadap barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sektor firma (Aliran Barang), manakala bakinya disimpan sebagai tabungan di institusi kewangan (Aliran Tabungan).

Tabungan di dalam institusi kewangan akan dipinjamkan kepada para pelabur yang seterusnya akan digunakan untuk membuat pelaburan dalam sektor firma (Aliran Pelaburan).

Suntikan dan Bocoran

  1. Pendapatan faktor yang diterima oleh isi rumah akan digunakan untuk tujuan penggunaan (C) dan tabungan (S), iaitu Y = C + S.
  2. Tabungan oleh isi rumah dan firma di institusi kewangan membolehkan aktiviti pelaburan (I).
  3. Tabungan (S) ialah bocoran atau aliran keluar pendapatan yang akan mengecilkan pendapatan negara.
  4. Pelaburan (I) ialah suntikan atau aliran masuk pendapatan yang akan membesarkan pendapatan negara.
  5. Jika bocoran melebihi suntikan, Y akan berkurangan.
  6. Jika bocoran kurang daripada suntikan, Y akan bertambah.
  7. Jika bocoran sama dengan suntikan (S = I), Y akan kekal tidak berubah (seimbang).

Fungsi Penggunaan isi rumah

Penggunaan (C) ialah perbelanjaan isi rumah terhadap barangan tawaran firma.

Fungsi penggunaan menunjukkan hubungan antara tingkat penggunaan semua isi rumah dengan tingkat pendapatan boleh guna dalam sebuah ekonomi.

Fungsi penggunaan dalam ekonomi dua sektor dapat ditunjukkan melalui persamaan berikut:

C = a + bYd

dimana

C = Penggunaan
a = Penggunaan autonomi
b = Kecenderungan mengguna sut
Yd = Pendapatan boleh guna

Nota : Memandangkan tiada unsur cukai dikenakan ke atas isi rumah dan firma dalam Ekonomi dua sektor, Y = Yd , Oleh itu, fungsi pnggunaan ekonomi dua sektor boleh ditulis sebagai
C = a + bY.

Jadual Penggunaan

Huraian:
  1. Y↑, C↑
  2. Y = 0, C = 100 : Penggunaan autonomi / perbelanjaan isi rumah yang tidak dipengaruhi
    oleh pendapatan negara.
  3. Y = 200, C = 200 : Semua pendapatan dibelanjakan; Tabungan S = 0.
  4. Fungsi Penggunaan : Keluk yang menunjukkan hubungan antara Yd atau Y dengan C.



    1. Huraian : Fungsi penggunaan bercerunan positif menunjukkan bahawa hubungan Y dan C adalah secara langsung.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Penggunaan Isi Rumah

  1. Tingkatan Pendapatan Boleh Guna
    Secara umum, penggunaan isi rumah bergantung pada tingkat pendapatan boleh guna. Semakin tinggi pendapatan boleh guna, semakin tinggi penggunaan isi rumah. Hubungan antara penggunaan isi rumah dengan pendapatan boleh guna dapat ditunjukkan melalui persamaan berikut:

    C = f(Yd)

    di mana

    C = Penggunaan isi rumah
    Yd = Pendapatan boleh guna
  2. Kadar bunga dan Syarat Pinjaman
    Apabila kadar bunga dalam pasaran merosot, kos pinjaman akan menjadi lebih murah. Oleh itu, perbelanjaan penggunaan dalam negara akan menjadi lebih tinggi. Perbelanjaan penggunaan juga akan meningkat jika syarat pinjaman yang dikenakan oleh bank-bank semakin longgar.
  3. Pengagihan Pendapatan Negara
    Pengagihan pendapatan dalam negara yang setara, di mana golongan miskin tidak diabaikan, akan meningkatkan perbelanjaan penggunaan.
  4. Sumber Harta Kekayaan
    Semakin besar pendapatan dari sumber harta kekayaan, semakin tingi perbelanjaan penggunaan.
  5. Kemudahan Sewa Beli dan Kemudahan Kredit
    Kemudahan sewa beli dan kredit yang longgar akan meningkatkan perbelanjaan penggunaan.
  6. Jangkaan Terhadap Harga Pada Masa Hadapan
    Jangkaan pengguna rasional bahawa tingkat harga umum akan naik pada masa hadapan akan meninggikan perbelanjaan penggunaan.
  7. Penciptaan Barang Baru
    Perbelanjaan penggunaan akan meningkat apabila wujudnya penciptaan barang baru dalam pasaran.

Fungsi Tabungan isi rumah

  1. Tabungan (S) ialah pendapatan yang tidak dibelanjakan.
  2. S dipengaruhi oleh pendapatan negara (Y) dan pendapatan boleh guna (Yd).
  3. Dalam Ekonomi dua sektor, Y = Yd kerana tiada unsur cukai dikenakan ke atas isi rumah dan firma.
  4. Apabila Y ↑ atau Yd ↑, maka S ↑. Begitu juga sebaliknya.
  5. Jadual Tabungan



    Huraian:
    1. Y↑, S↑
    2. Y = 0, S = −100 : Tabungan masa-masa lalu isi rumah berkurangan sebanyak RM100 untuk membayar penggunaan autonomi isi rumah / makan tabungan.
    3. Y = 200, S = 0 : Semua pendapatan dibelanjakan.
  6. Fungsi Tabungan : Keluk yang menunjukkan hubungan antara Yd atau Y dengan S.



    Huraian : Fungsi tabungan berkecerunan positif : Hubungan Y dan S adalah secara langsung.
  7. Persamaan Tabungan : S = c + dY dimana
    c = tabungan autonomi
    dY = tabungan teraruh / aruhan / S dipengaruhi oleh ∆Y

    Hubungan antara Pendapatan Negara (Y), Penggunaan (C) dan Tabungan (S)

    1. Y = C + S.
    2. Kecenderungan Mengguna Purata (APC).
      1. Bahagian pendapatan yang dibelanjakan.
      2. APC = C / Y.
      3. APC boleh diperolehi melalui fungsi / keluk penggunaan C = a + bY.
    3. Kecenderungan Menabung Purata (APS).
      1. Bahagian pendapatan yang ditabungkan.
      2. APS = S / Y.
      3. APS boleh diperolehi melalui fungsi / keluk tabungan S = −a + dY.
    4. APC + APS =1.

      Bukti 1: Kaedah Jadual

      Bukti 2: Kaedah Persamaan
      Y = C + S
      Bahagikan dengan Y
      Y / Y = C / Y + S / Y
      1 = APC + APS
      Oleh itu, APC + APS = 1
    5. Kecenderungan Mengguna Sut (MPC)
      1. Perubahan dalam penggunaan akibat daripada perubahan dalam pendapatan negara.
      2. MPC = ΔC / ΔY
      3. MPC boleh diperolehi melalui fungsi / keluk penggunaan C = a + bY.
      4. Kecerunan fungsi penggunaan menggambarkan nilai MPC.
      5. Fungsi penggunaan berbentuk garis lurus menunjukkan nilai MPC adalah malar pada setiap tingkat pendapatan negara / Kadar pertambahan penggunaan bagi setiap pertambahan dalam pendapatan negara adalah tetap.
    6. Kecenderungan Menabung Sut (MPS)
      1. Perubahan dalam tabungan akibat daripada perubahan dalam pendapatan negara.
      2. MPS = ΔS / ΔY
      3. MPS boleh diperolehi melalui fungsi / keluk tabungan S = −a + dY.
      4. Kecerunan fungsi tabungan menggambarkan nilai MPS.
      5. Fungsi tabungan berbentuk garis lurus menunjukkan nilai MPS adalah malar pada setiap tingkat pendapatan negara / Kadar pertambahan tabungan bagi setiap pertambahan dalam pendapatan negara adalah tetap.
    7. MPC + MPS =1

      Bukti 1: Kaedah Jadual


      Bukti 2: Kaedah Persamaan
      Y = C + S
      ΔY = ΔC + ΔS
      Bahagikan dengan ΔY
      ΔY / ΔY = ΔC / ΔY + ΔS / ΔY
      1 = MPC + MPS
      Oleh itu, MPC + MPS = 1

    Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Tabungan

    1. Saiz Pendapatan Negara / Pendapatan Boleh Guna: Kemampuan masyarakat membuat tabungan meningkat apabila Pendapatan Negara / Pendapatan Boleh Guna meningkat.
    2. Kecenderungan Menabung Sut (MPS): Semakin tinggi MPS, semakin besarlah tabungan. Antara faktor-faktor mempengaruhi MPS / Tabungan termasuk:
      1. Pengagihan pendapatan dalam negara tidak setara (golongan miskin diabaikan) meningkatkan MPS dan S.
      2. Semakin besar pendapatan dari sumber harta kekayaan, semakin tinggi MPS dan S.
      3. Kemudahan sewa beli dan kredit menurunkan MPS dan S.
      4. Kenaikan kadar bunga meningkatkan MPS dan S.
      5. Jangkaan pengguna rasional bahawa tingkat harga umum akan turun pada masa hadapan akan meninggikan MPS dan S.
      6. MPS dan S menurun apabila wujudnya penciptaan barang baru dalam pasaran.

    Pelaburan Dalam Ekonomi Dua Sektor

    Pelaburan ialah perbelanjaan terhadap barang modal yang dilakukan oleh sektor firma, contohnya perbelanjaan terhadap loji, bangunan dan jentera.

    Jenis-jenis pelaburan :

    1. Pembentukan modal fizikal tetap seperti mesin dan jentera dengan tujuan menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan masa hadapan.
    2. Pertambahan dalam inventori / stok bahan mentah, barang separuh siap dan barang siap dengan tujuan meningkatkan penawaran pada masa hadapan.
    3. Pembinaan harta tetap seperti bangunan kilang, pejabat, dan rumah kediaman dengan tujuan menambahkan pendapatan dan kapasiti pengeluaran pada masa hadapan.

    Pelaburan merupakan suntikan ke dalam aliran pusingan pendapatan.

    Pertambahan pelaburan akan

    1. Mempergiatkan pengeluaran,
    2. Menambahkan peluang pekerjaan / mengurangkan pengangguran,
    3. Menambahkan keluaran negara,
    4. Mewujudkan pertumbuhan ekonomi.

    Fungsi Pelaburan

    Fungsi Pelaburan ialah keluk yang menunjukkan hubungan antara pendapatan negara dan pelaburan:

    I = a + bY

    di mana

    I = pelaburan,
    a = pelaburan autonomi, dan
    bY = pelaburan terangsang / teraruh

    Pelaburan Terangsang / Teraruh ialah pelaburan yang dipengaruhi oleh pendapatan negara.

    Pelaburan autonomi ialah pelaburan yang tidak bergantung pada pendapatan negara. Walaupun pendapatan negara berubah, tingkat pelaburan adalah tetap sama.

    Pelaburan autonomi bergantung kepada

    1. Kadar bunga,
    2. Kecekapan modal sut / kadar pulangan pelaburan,
    3. Kemajuan teknologi,
    4. Jangkaan masa hadapan,
    5. Kos pengeluaran,
    6. Polisi kerajaan,
    7. Kestabilan politik dan sosial, dan
    8. Kestabilan nilai wang negara.

    Berdasarkan rajah di atas, keluk pelaburan autonomi merupakan satu garis mendatar, manakala keluk pelaburan teraruh merupakan satu garis lurus yang mecerun ke atas dari kiri ke kanan.

    Pelaburan Bersih ialah nilai pelaburan yang diperoleh setelah pelaburan kasar ditolak dengan susut nilai.

    Dalam bentuk rumus,

    Pelaburan bersih = Pelaburan kasar – Susut nilai

    Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pelaburan

    Pendapatan Negara

    Mempengaruhi pelaburan terangsang secara langsung.

    Apabila Y ↑, C akan ↑. Oleh itu, I akan ↑ untuk ↑ AS supaya dapat memenuhi pertambahan dalam C.

    Kadar bunga

    Mempengaruhi pelaburan autonomi secara songsang.

    Apabila kadar bunga ↑, kos pinjaman akan ↑, I akan ↓.

    Kecekapan Modal Sut / Kadar Pulangan Pelaburan

    Pelabur akan melabur jika (Kadar pulangan pelaburan − kadar bunga pinjaman) adalah positif.

    Keynes menganggap kadar pulangan pelaburan sebagai kecekapan modal sut (MEI).


    Kemajuan Teknologi

    Penggunaan mesin dan komputer yang lebih canggih meninggikan kecekapan firma dan pekerja. Kadar pulangan pelaburan (MEI) bertambah / keluk MEI pindah ke kanan

    Jangkaan Ekonomi Masa Hadapan

    Jangkaan ekonomi masa hadapan yang menggalakkan ↑ MEI.

    Jangkaan ekonomi masa hadapan yang tidak menggalakkan ↓ MEI.

    Kos Pengeluaran

    Kenaikan kos pengeluaran memindahkan MEI ke kiri / projek-projek dibatalkan. I ↓.

    Polisi Kerajaan

    Polisi cukai keuntungan syarikat: T ↑, I ↓.

    Polisi pemberian taraf perintis: Pemberian taraf perintis akan ↑ I.

    Kestabilan politik dan sosial

    ↑ I kerana menjamin pulangan yang baik kepada para pelabur.

    Kestabilan nilai mata wang negara

    ↑ I pelabur-pelabur asing kerana menjamin pulangan pelaburan yang dikirim ke negara-negara asal mereka

    Pelaburan Kasar (Ig), Pelaburan Bersih (In) dan Susut Nilai



    1. Barang modal dan stok simpanan mengalami susut nilai akibat daripada kerosakan melalui masa.
    2. Pelaburan Kasar adalah pembentukan modal fizikal tetap untuk menggantikan stok modal yang telah rosak.
    3. Pelaburan Bersih adalah pembentukan modal fizikal tetap untuk menambahkan daya pengeluaran firma. Nilai ini menggambarkan nilai stok modal dalam ekonomi / Pertambahan In bermakna I ↑ dan Y ↑.

    Pencapaian Keseimbangan Pendapatan Negara dalam Ekonomi Dua Sektor

    Keseimbangan pendapatan negara untuk Ekonomi Dua Sektor ialah satu keadaan apabila jumlah perbelanjaan yang dilakukan oleh sebuah ekonomi yang terdiri daripada sektor isi rumah dan sektor firma adalah sama dengan jumlah barang dan perkhidmatan yang sanggup ditawarkan oleh ekonomi tersebut, atau perbelanjaan agregat (AE) sama dengan penawaran agregat (AS).

    Sektor isi rumah membuat perbelanjaan terhadap barang dan perkhidmatan bagi tujuan penggunaan (C).

    Sektor firma membuat perbelanjaan terhadap barang modal bagi ujuan pelaburan (I).

    Jadi, jumlah perbelanjaan agregat (AE) dalam ekonomi dua sektor meliputi penggunaan (C) dan pelaburan (I).

    AE = C + I

    Oleh itu, keseimbangan pendapatan negara dalam ekonomi dua sektor tercapai apabila perbelanjaan agregat (C + I) sama dengan penawaran agregat (Y).

    Y = C + I

    Pendekatan Suntikan Dan Bocoran

    I = suntikan ke dalam aliran pusingan pendapatan.

    I ↑, Y akan ↑.

    S = bocoran daripada aliran pusingan pendapatan.

    S↑, Y akan ↓.

    Pada keseimbangan ekonomi dua sektor, I = S.

    Buktikan I = S
    AS = Y = C + S
    AE = C + I
    AS = AE
    C + S = C + I
    S = I

    Kaedah Jadual Untuk Penentuan Keseimbangan Ekonomi Dua Sektor


    Pendekatan Penawaran Agregat Dan Perbelanjaan Agregat apabila AS = AE : Y = 40
    Pendekatan Suntikan Dan Bocoran apabila I = S : Y = 40

    Kaedah Rajah Untuk Penentuan Keseimbangan Ekonomi Dua Sektor



    Pendekatan Penawaran Agregat Dan Perbelanjaan Agregat apabila AS = AE : Y = 40 Pendekatan Suntikan Dan Bocoran apabila I = S : Y = 40

    Kaedah Penghitungan Untuk Penentuan Keseimbangan Ekonomi Dua Sektor

    Pendekatan Penawaran Agregat Dan Perbelanjaan Agregat (AS = AE)
    C = 300 + 0.6 Y
    I = 1500
    Cari Y.

    Y = C + I = 300 + 0.6 Y + 1500 = 1800 + 0.6 Y
    1Y = 1800 + 0.6 Y
    0.4 Y = 1800
    Y = 4500


    Pendekatan Suntikan Dan Bocoran (I = S)
    S = −300 + 0.4 Y
    I = 1500
    Cari Y.

    S = I
    − 300 + 0.4 Y = 1500
    0.4 Y = 1800
    Y = 4500

    Pengganda dalam Ekonomi Dua Sektor

    Pengganda dalam ekonomi dua sektor ialah nisbah antara perubahan tingkat pendapatan negara dengan perubahan tingkat pelaburan.

    M = ∆Y / ∆I

    di mana

    M = Pengganda
    ∆Y = Perubahan pendapatan negara
    ∆I = Perubahan tingkat pelaburan

    Faktor-faktor mempengaruhi AE

    1. Secara langsung oleh C dan I (Perubahan suntikan).
    2. Secara tak langsung oleh S (Perubahan bocoran).

    Hubungan antara AE dengan Y dalam Ekonomi Dua Sektor

    Diberikan C = 20 + 0.5 Y,

    Apabila I = 40
    Y = C + I = 20 + 0.5Y + 40
    Y = 60 + 0.5Y
    Y − 0.5Y = 60
    Y = 120
    Apabila I = 50
    Y = C + I = 20 + 0.5Y + 50
    Y = 70 + 0.5Y
    Y − 0.5Y = 70 Y = 140

    Kesimpulan:
    Perubahan I daripada 40 kepada 50 : I = +10
    Perubahan Y daripada 120 kepada 140 : Y = +20

    Pengganda M = ∆Y / ∆I = 20 / 10 = 2

    Kesan I ke atas Y dalam bentuk rajah: